Sunday, February 13, 2011

Perkhemahan Tasik Chenderoh 3 (akhir)

Tarikh: 2hb February 2011

Tengahari kami dijemput keluar dari tempat survivor (perkampungan orang asli ciptaan kami). Proses nak tunggu bot untuk ke campsite punya la ambil masa yang lama kerana peserta yang turut serta berkhemah ada lebih kurang 250 orang kalau tak silap saya (full-time dip. sport science seluruh Malaysia, Peserta Degree Shah Alam termasuk kami epjj). Bot yang ada pula tak berapa banyak. Maka, terpaksa fasi buat sesuatu untuk mengisi masa kami sampai diapun takda idea nak cerita, akhirnya suruh kami tunggu, itupun tak sampai-sampai juga bot kosong. Akhirnya sejam selepas menunggu kami berjaya balik ke campsite.
Petangnya, Kami kembali balik ke pulau tadi untuk aktiviti orienteering. Di sana kami diajar macamana nak baca kompas. Selepas itu dibuat pertandingan orienteering di mana kami di minta buat route kami sendiri, ambil sudut kompas dan jarak, sambil buat marking. Selepas itu masing-masing punya route akan bertukar tangan. Menggunakan route orang lain, kamipun berorienteering samada betul atau tidak kedudukan kompas yang dicipta oleh rakan-rakan lain.
Malam pula, adalah malam yang saya akan kenang sampai la saya dah tak kenang lagi. Pasal malam itu adalah kelas first aid. Di sampaikan oleh 2 orang pelajar perempuan degree Medic, Sport science part 4. Penyampaiannya sederhana sahaja tetapi yang membuat saya menumpukan sepenuh perhatian adalah kerana mereka memiliki tubuh dan wajah yang terasa rugi benar kalau kita berpaling walau sesaat. Kebarangkalian kalau mereka meng'offer' siapa nak jadi pesakit untuk di cpr oleh mereka, maka sayalah orang pertama.
Malam tersebut adalah malam pertama kami tidur di khemah kami sendiri pasal malam sebelumnya kami tidur di shelter tanpa apa-apa alas dalam aktiviti 'survivor'. Kamipun bahagi-bahagikan tugas siapa bertugas untuk sentry.

3hb February 2011.

Hari yang paling mencabar sekali. Pagi berkayak 4 jam, sambung petang buat acara merentas hutan (trekking) memanjang gunung Biong.
Sebelum kami dibenarkan berkayak, kami perlu berlatih untuk 'rescue' supaya bila berlaku kecemasan di tengah tasik, kami tidak panik dan dapat buat apa yang perlu buat. Jadi kami menterbalikkan kayak, dalam kedudukan di dalam air, kami buat teknik comando rescue, dan beberapa teknik yang lain. Selepas selesai, kami diberi peta dan kompas dan diarah berkayak ke tempat tersebut. Memang seronok berkayak ni. Walaupun berlaku persilihan pendapat mengenai lokasi peta, tetapi saya cukup seronok mengalami pengalaman ini. Saya rasa hanya mereka yang pernah berkayak sahaja mengerti apa saya maksudkan. Sehingga entry ini ditaip (13.2.11), kulit saya masih lagi gelap akibat terbakar dek cahaya matahari kesan daripada berkayak selama 4 jam.
Selepas berkayak, kami bersiap untuk acara trekking ke Gunung Biong pula. Selepas Makan tengahari, mandi dan solat, perjalananpun dimulakan. Dari campsite, kami naik bot ke jeti Changkat Duku tempat di mana kami memakir kereta kami. Alhamdulillah kereta selamat. Dari jeti, kami terpaksa berjalan kaki sepanjang 1 kilometer untuk sampai ke kebun orang. Dari kebun dan ladang getah pula, terpaksa berjalanan 1 kilometer lagi untuk sampai ke kaki gunung. Dari kaki gunung ke puncak yang kami diarah pergi tidaklah tinggi sangat. Jaraknya cuma mengambil masa 2 jam. Tetapi yang mencabarnya ialah dagu kita akan bertemu lutut kita. Tak ada yang landai, mencacak je dari mula sampai habis. Masa itulah cabaran sebenar. Seorang rakan semput tengah jalan, terpaksa pakai inhaler. Nasib baik bawa inhaler. Beberapa orang lagi kepenatan kerana maklum la, ramai dah tak bersenam lagi. Jadinya, sepanjang perjalanan kami terpaksa memberi rangsangan antara satu sama lain supaya berjaya sampai ke puncak sebelum matahari terbenam. Berkat daripada kerjasama tersebut, Alhamdulillah akspedisi tersebut berjaya. Dalam perjalanan balik sampai di jeti Changkat Duku, kami perlu berenang untuk ke campsite. Pehh... mencabar betul..
Malamnya, kami ada kelas 'knotting' atau belajar ikatan. Antara ikatan kami belajar ialah - reef knot, bowline, sheet band, double sheet band, clove hitch, figure eight, figure eight loop and follow through, figure eight double loops, butterfly, fisherman knot dan double fisherman knot. Malam tersebut kena praktis pasal keesokkan harinya kami ada test ikatan.

4hb February 2011.

Selepas sarapan, kami ada acara mountain bike. Dikendalikan 2 pelajar degree yang berpengalaman, kamipun pergi la berbasikal off road. memang seronok mountain bike ni kalau ikut tekniknya. Seperti menurun bukit dengan keadaan muka bumi tak rata, kami diajar turun tanpa menggunakan brek, hanya meluncur sahaja. Kecut perut macam naik roller coasterpun ada. Perasaan ni hanya orang yang berpengalaman buat mountain bike sahaja tau. Dengan pengalaman ini, maka lebih hormat lagi saya kepada peminat-peminat mountain bike tegar yang kerap buat ekspidisi off road.
Selepas berbasikal, kami pulang untuk mengemas barang-barang sebab itu adalah hari terakhir kami. Selepas semuanya selesai, ada satu lagi tugasan tidak selesai. Knot test atau ujian ikatan. Alhamdulillah selepas semuanya selesai, kami bertemu dengan En. Hisyam untuk post mortem terakhir di tapak perkhemahan. Pada hari Jumaat dalam jam 1.30pm (orang tengah sembahayang Jumaat tuh, bagaimanapun kami ni musafir la katakan)kamipun berlepas pulang. Selamat tinggal Tasik Chenderoh, terima kasih atas pengalaman yang hebat. Alhamdulillah, Amin. Sekiranya saya hendak kaitkan dengan bidang tugas saya dalam kecergasan, saya betul-betul menikmati perkhemahan ini. Bila kita fit, semua perkara jadi seronok. :D

Thursday, February 10, 2011

Perkhemahan Tasik Chenderoh 2

Tarikh 1hb February 2011

Perjalanan start kat rumah Beta. Ye la dah pakai kereta saya so yang menumpang kena datang Shah Alam la ye dak? Lepas perkena sarapan pagi, kamipun mula perjalanan ke Sauk, Perak lebih kurang 8.30 pagi. Sepanjang perjalanan, kami cuba bertemu dengan geng kereta lain, tapi disebabkan masalah komunikasi, asyik tak jumpa je. Akhirnya kami bertemu di Jeti Changkat Duku dalam pukul satu lebih tengahari. Pastu kena tunggu bot untuk ke Tanjung Harapan dimana campsite berada. Bunyi macam jauh dari jeti tu ke tanjung Harapan, tetapi sebenarnya tidak. 2 minit je sampai. Di tanjung Harapan kami disambut dan diberi taklimat oleh Lec. Firdaus. Selepas segalanya selesai seperti naikkan khemah, kami pelajar epjj diarah berkumpul bersama pelajar degree fulltime di khemah pusat mereka untuk taklimat kayak. Selesai sesi taklimat, kami diarah ke tasik untuk aktiviti 'water confidence'. Berbekalkan personal floating device a.k.a PFD (ataupun bagi org kebanyakkan panggil lifejacket), kamipun mengapungkan diri sambil berenang lebih kurang 2 jam kut. Kejap ke sana- kejap ke sini dibuli Facilitator sampai memang konfiden la. Abih je, terus diambilalih oleh faci lain, diarahnya kami tukar pakaian longgar, pasal tadi pakai tight. pastu pakai pfd lagi, disuruhnya tunjuk kpd dia apa yg kami belajar tadi. Dalam 5 minit kami diarah naik dengan basah kuyup, terus buat aktiviti seterusnya iaitu 'survivor'. Pehhh... first day terus survivvor... challenge betul. Kami dipecahkan 2 group (4 org 1 group), dibekalkan setin sardin, beras, garam, 3 batang mancis, sedikit teh dgn gula dan telur 2 biji. Tidak dilupa 2 mess tin, 1 shelter dan sebilah parang. So, kami dihantar ke pulau lain. Masa tu jam lebih kurang 6 lebih nak magrib dah. Kumpulan saya ditempatkan yg paling hujung dengan semaknya semua cukup. Tapi nasib baik kumpulan saya terer yg terdiri daripada seorang ranjer perhilitan, seorg polis dan seorang lagi kerja Risda kut (lupa pulok beta dia kerja apa) termasuk patik yang pacal hina ni selaku fitness instructor (kuekuekue), dari semak samun terus jadi perkampungan orang asli. Punya la bangga pasal harus diingat, kami buat kerja menebas dan dirikan shelter tuh tengah malam. Kami di tempatkan di situ sampai la keesokkan tengahari. Esoknya pulak cerita lain... lain kali post..

Tuesday, February 8, 2011

Perkhemahan di Tasik Chenderoh 1

Saya nak mulakan blog saya dengan cerita perkhemahan kami pelajar-pelajar Sport Studies e-PJJ, UiTM di Tasik Chenderoh pada 1hb Feb - 4hb Feb 2011 yang lepas. Perkhemahan ini bersempena subjek Outdoor Recreation (SPS133)di bawah kendalian pensyarah En. Hisyam Che Mat.
Kami pelajar e-PJJ terdiri daripada 8 orang (1 perempuan)bertolak dari Shah Alam pagi-pagi lagi dengan kenderaan sendiri. Ini kerana kami gagal mendapatkan kemudahan pengangkutan dari pihak InED dan UiTM kerana persetujuan serta mendapatkan kebenaran untuk turut serta berkhemah di buat disaat akhir supaya kami dapat berkhemah bersama pelajar-pelajar full-time. Jadi kami tak perlulah bawa peralatan seperti kayak dan sebagainya kerana kami menumpang pelajar full-time punya.
Saya akan postkan aktiviti-aktiviti yang kami sertai di siri-siri seterusnya kerana banyak pengalaman yang begitu menakjubkan yang saya alami. Paling menarik kami membawa balik cenderahati dari Tasik Chenderoh iaitu 'kutu babi'. kahkahkah. Yang tension dia hisap darah kat tempat strategik pulak tuh. Hampehhh...